Tuesday, February 16, 2010

Akibat Bala Bencana Hebat Yang Menimpa, Orang Akan Pergi Ke Kubur Lalu Bercita-Cita Untuk Mati

     Telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Tidak akan terjadi Kiamat sehinggalah melewati seseorang akan kawasan perkuburan lalu bercita-cita : "Alangkah baiknya jika aku ini sebagai ganti bagi si mati ini."
  
      Di dalam hadis yang lain dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Aku bersumpah dengan Zat Yang Maha Berkuasa yang memegang nyawaku bahawa tidak akan Kiamat dunia ini sehinggalah seorang pergi ke kawasan perkuburan lalu menelan debu lantas berkata : 'Sepatutnyalah aku mengambil tempat si penghuni kuburan ini. Alangkah bagusnya jika aku telah berada di dalamnya! Cita-cita untuk kematian yang demikian bukanlah atas alasan memelihara Iman dan Agama tetapi lantaran nasib yang menimpa serta bala bencana dunia yang melanda."
(Muslim, Jilid 2, ms 394)

     
Catatan
     Orang-orang duniawi sekarang ini sedang mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi dan membeli barang-barang yang mewah untuk menghiasi bangunan tersebut sebagai cara untuk berseronok-seronok. Kegiatan manusia ini terus meningkat dari sehari ke sehari tetapi ketenangan dan kepuasan hati yang sebenar hanyalah diperolehi daripada mengingati Allah. Jikalau perkara ini tidak wujud, hasil yang terjadi hanyalah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. : 'Aku tidak takut dengan kemiskinan umatku tetapi aku takut apabila pintu khazanah dunia dibukakan, maka orang ramai akan dengki mendengki di antara satu sama lain lalu berebut-rebut untuk memperolehi harta benda tersebut sepertimana yang telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasara. Lantaran itu mereka akan terbinasa sebagaimana binasanya orang-orang Yahudi dan Nasara."
(Bukhari, Jilid 1)

     Renungilah akan perkara tersebut. Manusia menganggap bahawa hartanya, tanah ladangnya, bengkel dan kilang dan sebagainya merupakan jalan penyelesaian dan rawatan terhadap segala penderitaan dan kesakitannya lalu mengejar benda-benda itu seumpama orang gila.

     Untuk memperolehi segala harta benda ini dia memicingkan matanya terhadap erti kemanusiaan dan sekarang ini tanpa ada sedikitpun tertanam rasa hati nuraninya maka mereka merampas dan mensia-siakan hak kaum kerabat, anak yatim dan janda-janda miskin. Namun janganlah mereka lupa, bahawa masanya akan tiba apabila sedeqah tidak dilakukan dan juga zakat diabaikan maka perkelahian dan perbalahan akan terus meningkat di antara si kaya dengan si miskin (yang orang-orang Komunis menyebutnya sebagai peperangan antara kelas).

     Akan wujud peperangan antara pemerintah dan yang diperintah, awam dengan kerajaan. Maka musnahlah ketenteraman di bandar dan di desa. Perhubungan di antara suami isteri, anak dan ibu bapa akan pecah berkecai. Terhapusnya sikap percaya mempercayai di antara satu sama lain.
  
    Justeru, rumahtangga akan menjadi sebahagian daripada contoh-contoh neraka. Pada ketika inilah maka seorang akan melewati kawasan perkuburan lalu dia bercita-cita bahawa sepatutnya dia telah mati lama dahulu dan sedang tidur di dalam salah sebuah liang kubur dan alangkah amannya dia kerana dapat bebas daripada bala bencana dan malapetaka yang sedang merata ini.

     Rasulullah s.a.w. telah memberitahu Para Sahabat-sahabatnya yang mempunyai pendirian agama yang kukuh bahawa : "Seseorang akan berharap lantaran dilanda malapetaka ini agar mati pada hari itu."

     Para Sahabat r. 'anhum yang kukuh pegangan agama mereka lalu berharap dapat mati di dalam bencana tersebut kerana agama. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab bahawa mereka bukan mati lantaran kemalapetakaan dalam agama tetapi kerana dilanda oleh kemalapetakaan duniawi.

     Manusia akan cuba lari daripada tipudaya manusia, perbalahan dan peperangan.

     Makna yang lain ialah bahawa ketika mana manusia itu telah terbiasa dengan hidup mewah, maka apabila menjelangnya Kiamat, segala peraturan dunia ini akan menjadi tunggang terbalik - akan terjadi perampasan dan perampukan, keganasan, pemerintahan dan pegawai yang jahil, meluasnya rasuah. Keputusan akan diambil melalui penganiayaan dan rasuah maka yang demikian banyaklah keperluan-keperluan manusia tidak dapat diperolehi lantaran segala urusan dan peraturan telah terkubur.

     Disebabkan kemalapetakaan dan peperangan-peperangan yang berlaku ini maka tertahanlah rahmat Allah terhadap penduduk dunia ini, sebaliknya kemurkaan Allah akan turun ke atasnya. Hasilnya manusia akan berasa bimbang dan susah hati mengenai makanan dan pakaiannya. Untuk membeli barang-barang asas keperluan manusia seperti gandum, beras, minyak, teh, gula dan sebagainya maka manusia terpaksa beratur panjang untuk mendapatkannya.

     Kerana kecewa dan bosan dengan kebimbangan-kebimbangan dan ketegangan-ketegangan ini maka manusia akan menuju ke kawasan perkuburan lalu menelan debu yang ada di sana sambil berharap-harap bahawa sepatutnyalah dia telah mati dahulu dan betapa gembiranya dia kerana terlepas daripada kesusahan dan kebimbangan yang sedang melanda sekarang ini. Dengan sebab inilah Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa : "Kecelakaan dan kesusahan ini adalah kerana duniawi", dan kerana itu pun manusia berharap untuk mati. Zaman yang semakin jauh dari zaman kenabian adalah zaman yang lebih besar kerosakan dan kejahatannya. Maka berharap-haraplah manusia untuk mati kerana landaan arus bencana dan kemalapetakaan dunia ini.

Masalah
     Tidaklah dibenarkan kita berharap-harap untuk mati kerana ditimpa malapetaka dan kebimbangan dunia tetapi ia adalah harus jika harapan itu dibuat kerana takut akan kehilangan Iman dan pegangan agama Islam.

(Bersambung...)
Bab 38 [Meniti Debaran Zaman]

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...