Monday, February 22, 2010

Harta Menjadi Punca Segala Kemungkaran

     Telah diriwayatkan daripada 'Amar Bin 'Auf r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Aku tidak takut terhadap kemiskinan yang akan menimpamu tetapi apa yang aku takuti ialah apabila khazanah dunia ini dibukakan untukmu sebagaimana yang telah dibukakan kepada umat-umat sebelum kamu (seperti Yahudi dan Nasara) lalu mereka sibuk dengan berlumba-lumba di antara satu sama lain untuk memperolehi sebanyak-banyaknya harta (tanpa memilih lagi sama ada harta itu halal atau haram). Maka dengan demikian mereka terbinasa dengannya. Begitulah juga kamu juga akan binasa."
(Bukhari)

     Telah diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudri r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Selepas kewafatanku, ketakutanku yang paling besar ialah kilauan dan perhiasan duniawi (harta dan kekayaan) akan dibukakan kepadamu."
     Maka ditanya oleh seorang Sahabat : "Apakah harta juga akan membawa keburukan?" (yakni adakah kemiskinan dan keburukan akan datang bersama-sama kekayaan?).
     Rasulullah s.a.w. pun berdiam diri. Kami, para Sahabat berfikir bahawa wahyu Allah sedang turun. Kemudian Rasulullah s.a.w. menyapu peluhnya lalu bersabda : "Di mana si penanya tadi?"
     Kami menyangka bahawa baginda memuji pertanyaan si penanya tadi. Kemudian bersabda Rasulullah s.a.w. : "Kemaksiatan tidak datang daripada harta tetapi rumput yang tumbuh pada musim bunga adalah yang terbaik, dan jika seekor binatang memakannya sehingga kenyang lalu duduk di bawah matahari dan ia akan mengeluarkan najis dan kencing. Tetapi jika ia terus makan dan tidak mengambil rawatan, pastilah ia akan mati.
     Begitulah dengan kekayaan, adalah seumpama sayuran yang segar dan manis. Mereka yang menunaikan hak orang lain yang berhak, maka harta kekayaan itu akan mendatangkan manafaat. Tetapi mereka yang mengambilnya dan tidak menunaikan hak harta tersebut dan terus menerus memakannya tetapi perutnya tidak pun penuh-penuh lalu pada Hari Pengadilan harta tersebut akan menjadi saksi untuk mendakwa mereka."
(Bukhari)

Moral
     Manusia menganggapi bahawa harta, tanah dan kepunyaannya sebagai rawatan dan cara menyelesaikan segala kesusahan dan penderitaannya. Untuk memperolehi harta tersebut dia sanggup menanggung segala susah payah menghadapi suasana sejuk, panas dan hujan siang dan malam. Dia sanggup berembun berjam-jam pada waktu malam dengan melupakan segala kerehatan dan tidurnya sebentar pada waktu siang.

     Tetapi dalam usahanya untuk memperolehi harta demi harta dia tidak lagi mempedulikan secara halal dan haram dan lebih-lebih lagi dia akan mengenepikan hak kaum kerabatnya dan tidak memenuhi hak kepada janda-janda dan anak-anak yatim. Begitu juga terhadap pusaka-pusaka kepada anak-anak perempuan, adik beradik perempuan dan lain-lain kaum kerabat perempuan.

     Sebagaimana umat-umat yang dahulu melupai akan halal dan haram di dalam perebutan mendapatkan harta kekayaan secara melampaui batasan, maka begitulah juga terjadi dengan umat Muhammad s.a.w. mereka juga akan berlumba merebut kekayaan dan terbabit di dalam perniagaan barangan yang haram dan penyeludupan, wang bunga, pendustaan, penghalalan barangan yang diharamkan, penipuan dan tipu daya.

     Akibatnya umat Muhammad s.a.w. ini pun mengundang kebinasaan kerana hasil daripada pencarian harta yang haram dan memakan daripadanya, maka orang-orang ini akan mewarisi sikap angkuh dan sombong lalu tidak memperdulikan lagi akan kemasyalahatan kaum keluarga dan jiran yang miskin.

     Maka jauhilah daripada mereka yang tersangkut dan terikat dengan kegiatan-kegiatan yang haram yang daripadanya itu akan membangkitkan kemurkaan Allah Ta'ala lalu turunlah azabNya ke atas mereka sebagaimana umat-umat yang terdahulu.

     Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa : "Jika hak harta kekayaan itu disempurnakan (yakni jika sedeqah dan zakat dikeluarkan daripadanya) maka bersihlah harta tersebut dan orang itu pun akan berasa puashati dengan pendapatan yang demikian dan perasaan yaqin dan sabar akan terbina daripadanya."
     Tetapi jika sedeqah dan zakat tidak dikeluarkan (daripada harta tersebut), hak-hak anak-anak yatim dan janda-janda tidak ditunaikan, maka walaupun pendapatan itu berjumlah berjuta-juta ringgit tidak akan dapat menghasilkan perasaan puas hati (Qana'ah) dan kesyukuran. Sebaliknya dia akan gila wang, seumpamalah seekor binatang yang terus-terusan memakan rumput pada musim hujan tetapi tidak mendapatkan rawatan daripadanya, maka ia akan mati.
     Begitulah seorang yang tidak menunaikan hak harta kekayaannya dia akan terus lapar. Walaupun sudah mempunyai perniagaan yang berjuta-juta ringgit dia masih tidak berasa cukup dan terus berlaku rakus sampai pula sanggup makan harta anak yatim, janda-janda, masjid, madrasah dan lain-lainnya sehingga membinasakan Iman dan Agamanya.
     Rasulullah s.a.w. bersabda : "Kefakiran itu membawa seseorang itu kepada kafir."
(Hadis)

     Seorang yang memperolehi berjuta-juta ringgit tetapi tidak menunaikan hak harta dan hak ke atas orang-orang yang layak menerimanya maka dia adalah orang miskin pada hatinya dan dengan yang demikian berkemungkinan sahaja bertukar menjadi kafir. Si kaya yang tidak menyempurnakan hak yang ada pada hartanya, akan dibinasakan dan dihapuskan.

(Bersambung...)
[Bab 40, Meniti Debaran zaman]
     

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...