Friday, February 26, 2010

Dengan Hampirnya Hari Kiamat, Seorang Itu Akan Binasa Di Tangan Wanitanya, Ibubapanya, Anak Pinak Dan Jiran Tetangganya

     Telah diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas'ud r.'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Masa akan tiba bilamana orang-orang yang beragama mendapati sukar untuk menyelamatkan Iman mereka. Hanyalah orang yang dapat melepaskan diri daripada sebuah gunung kepada yang lain, daripada sebuah hutan kepada sebuah hutan yang lain, daripada satu batu ke batu yang lain yang dapat menyelamatkan Imannya. Masa ini akan muncul pada ketika akhir zaman nanti."
     Pada ketika itu rezeki tidak akan diperolehi tanpa melanggar perintah Allah dan ketika itulah dibenarkan kita tinggal diam di suatu sudut. Pada masa itu jika ada ibubapa yang masih hidup, merekalah yang akan menjadi punca kebinasaannya, kemudian sanak saudaranya dan juga jiran tetangganya.
     Alasan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa mereka inilah yang akan mencucuk dan menggesa serta mengejeknya lantaran kemiskinan serta pendapatan yang sedikit lalu menyusahkannya dengan menyuruhnya melakukan kerja-kerja yang bertentangan dengan Agama yang dia sendiri tidak dapat kekuatan untuk menolak godaannya.
     Maka orang ini disebabkan gesaan dan ejekan ini terpaksalah melibatkan dirinya untuk melakukan kerja-kerja yang tidak dibenarkan oleh Agama ini. Lantaran itulah dia akan mempercepatkan masa kebinasaan ke atas dirinya.
(Abu Nuaim - Hilyah)


Moral
     Renungilah dengan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Kita sedang melihat perkara ini berlaku di hadapan mata kepala kita sendiri. Setiap lelaki dan wanita meminta dan menuntut kehendak-kehendak mereka untuk memperolehi keselesaan dan kemewahan, minuman dan makanan, rumah dan kediaman, pakaian yang berbagai-bagai fesyen dan gaya, kerehatan dan masa lapang sehingga tuntutan-tuntutan ini tidak dapat dilayan dan hadapi oleh ketua keluarga.

     Ibubapa, isteri dan anak-anak akan mengejeknya. Ibubapanya akan berkata : "Lihat dengan anak-anak orang ini dan itu. Berapa banyak yang dia perolehi? Dia telah berhijrah ke negara luar dan menghantar deraf-deraf yang banyak setiap masa. Lihatlah di dalam rumahnya ada alat perakam, radio, TV dan segala-galanya dia ada."

     Tetapi malangnya si ibubapa tidak lagi memperdulikan bagaimana cara si anak tadi memperolehi semua itu melalui jalan halal atau haram samada Iman atau keIslaman anaknya terpelihara atau tidak tatkala mengejar rial dan dinar di Tanah Arab.

     Hampir pastilah dia akan menuruti gaya hidup dan fesyen yang merata di kalangan Yahudi dan Nasara yang akibat daripadanya terluputlah rasa hormat dan mulia terhadap Agamanya sendiri. Tidak ada sesiapa yang akan mempedulikannya samada dia makan daging halal atau tidak, mengikut penyembelihan secara Islam. Berapa ramai ibubapa Islam yang betul-betul Islam yang benar-benar mengambil berat akan ehwal anaknya tatkala mereka ke luar negeri?

     Jikalau ibubapanya tidak ada, maka dia akan keluar negeri kerana diejek oleh isterinya walaupun tidak seorang pun yang ada di rumah untuk memelihara isterinya. Apa pula akan terjadi terhadapnya? Setiakah isterinya menunggu tatkala suami ke luar negeri bertungkus lumus bermandi peluh untuk mencari wang.

     Jikalau isterinya suci, maka anak-anaknya pula akan menjadi bahan ejekan ibubapanya menuntut pakaian baru dan benda-benda baru.

     Jikalau si bapa bukan seorang haji dan ahli solat, maka betapa pula keadaan si anak? Mereka juga akan jauh daripada agama. Kecewa dan jijik dengan segala ejekan keluarga dan kata-kata yang menyakitkan hati, seorang itu boleh sahaja melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat dan undang-undang, lalu dengan sendirinya membinasakan Iman dan Islam mereka.

     Jikalau dia mungkin terlepas daripada ejekan keluarga maka dia juga boleh jadi terbinasa menerusi orang-orang kampungnya, jiran-jiran, kawan-kawan dan rakan-rakan yang rosak akhlak. Maka wajarlah Rasulullah s.a.w. menasihati orang-orang yang hidup pada masa itu menghabiskan hayat mereka di tempat-tempat sunyi dan jauh daripada gangguan manusia. Tinggalkan kampung halaman atau bandar lalu ke hutan-hutan yang mana ini lebih sesuai baginya.

     Apabila seorang itu berada di kalangan masyarakatnya dia boleh dapat banyak pahala dengan melakukan kerja-kerja yang baik-baik, tetapi jikalau suasana masyarakat itu sudah rosak, dia akan dapat selamatkan Imannya dengan tinggal bersendirian di dalam hutan. Masa itu belum lagi tiba. Ia akan muncul apabila hampirnya Kiamat, tetapi peringkat-peringkat ke arah itu telah bermula!!!

     

Maulidur Rasul

Monday, February 22, 2010

Harta Menjadi Punca Segala Kemungkaran

     Telah diriwayatkan daripada 'Amar Bin 'Auf r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Aku tidak takut terhadap kemiskinan yang akan menimpamu tetapi apa yang aku takuti ialah apabila khazanah dunia ini dibukakan untukmu sebagaimana yang telah dibukakan kepada umat-umat sebelum kamu (seperti Yahudi dan Nasara) lalu mereka sibuk dengan berlumba-lumba di antara satu sama lain untuk memperolehi sebanyak-banyaknya harta (tanpa memilih lagi sama ada harta itu halal atau haram). Maka dengan demikian mereka terbinasa dengannya. Begitulah juga kamu juga akan binasa."
(Bukhari)

     Telah diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudri r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Selepas kewafatanku, ketakutanku yang paling besar ialah kilauan dan perhiasan duniawi (harta dan kekayaan) akan dibukakan kepadamu."
     Maka ditanya oleh seorang Sahabat : "Apakah harta juga akan membawa keburukan?" (yakni adakah kemiskinan dan keburukan akan datang bersama-sama kekayaan?).
     Rasulullah s.a.w. pun berdiam diri. Kami, para Sahabat berfikir bahawa wahyu Allah sedang turun. Kemudian Rasulullah s.a.w. menyapu peluhnya lalu bersabda : "Di mana si penanya tadi?"
     Kami menyangka bahawa baginda memuji pertanyaan si penanya tadi. Kemudian bersabda Rasulullah s.a.w. : "Kemaksiatan tidak datang daripada harta tetapi rumput yang tumbuh pada musim bunga adalah yang terbaik, dan jika seekor binatang memakannya sehingga kenyang lalu duduk di bawah matahari dan ia akan mengeluarkan najis dan kencing. Tetapi jika ia terus makan dan tidak mengambil rawatan, pastilah ia akan mati.
     Begitulah dengan kekayaan, adalah seumpama sayuran yang segar dan manis. Mereka yang menunaikan hak orang lain yang berhak, maka harta kekayaan itu akan mendatangkan manafaat. Tetapi mereka yang mengambilnya dan tidak menunaikan hak harta tersebut dan terus menerus memakannya tetapi perutnya tidak pun penuh-penuh lalu pada Hari Pengadilan harta tersebut akan menjadi saksi untuk mendakwa mereka."
(Bukhari)

Moral
     Manusia menganggapi bahawa harta, tanah dan kepunyaannya sebagai rawatan dan cara menyelesaikan segala kesusahan dan penderitaannya. Untuk memperolehi harta tersebut dia sanggup menanggung segala susah payah menghadapi suasana sejuk, panas dan hujan siang dan malam. Dia sanggup berembun berjam-jam pada waktu malam dengan melupakan segala kerehatan dan tidurnya sebentar pada waktu siang.

     Tetapi dalam usahanya untuk memperolehi harta demi harta dia tidak lagi mempedulikan secara halal dan haram dan lebih-lebih lagi dia akan mengenepikan hak kaum kerabatnya dan tidak memenuhi hak kepada janda-janda dan anak-anak yatim. Begitu juga terhadap pusaka-pusaka kepada anak-anak perempuan, adik beradik perempuan dan lain-lain kaum kerabat perempuan.

     Sebagaimana umat-umat yang dahulu melupai akan halal dan haram di dalam perebutan mendapatkan harta kekayaan secara melampaui batasan, maka begitulah juga terjadi dengan umat Muhammad s.a.w. mereka juga akan berlumba merebut kekayaan dan terbabit di dalam perniagaan barangan yang haram dan penyeludupan, wang bunga, pendustaan, penghalalan barangan yang diharamkan, penipuan dan tipu daya.

     Akibatnya umat Muhammad s.a.w. ini pun mengundang kebinasaan kerana hasil daripada pencarian harta yang haram dan memakan daripadanya, maka orang-orang ini akan mewarisi sikap angkuh dan sombong lalu tidak memperdulikan lagi akan kemasyalahatan kaum keluarga dan jiran yang miskin.

     Maka jauhilah daripada mereka yang tersangkut dan terikat dengan kegiatan-kegiatan yang haram yang daripadanya itu akan membangkitkan kemurkaan Allah Ta'ala lalu turunlah azabNya ke atas mereka sebagaimana umat-umat yang terdahulu.

     Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa : "Jika hak harta kekayaan itu disempurnakan (yakni jika sedeqah dan zakat dikeluarkan daripadanya) maka bersihlah harta tersebut dan orang itu pun akan berasa puashati dengan pendapatan yang demikian dan perasaan yaqin dan sabar akan terbina daripadanya."
     Tetapi jika sedeqah dan zakat tidak dikeluarkan (daripada harta tersebut), hak-hak anak-anak yatim dan janda-janda tidak ditunaikan, maka walaupun pendapatan itu berjumlah berjuta-juta ringgit tidak akan dapat menghasilkan perasaan puas hati (Qana'ah) dan kesyukuran. Sebaliknya dia akan gila wang, seumpamalah seekor binatang yang terus-terusan memakan rumput pada musim hujan tetapi tidak mendapatkan rawatan daripadanya, maka ia akan mati.
     Begitulah seorang yang tidak menunaikan hak harta kekayaannya dia akan terus lapar. Walaupun sudah mempunyai perniagaan yang berjuta-juta ringgit dia masih tidak berasa cukup dan terus berlaku rakus sampai pula sanggup makan harta anak yatim, janda-janda, masjid, madrasah dan lain-lainnya sehingga membinasakan Iman dan Agamanya.
     Rasulullah s.a.w. bersabda : "Kefakiran itu membawa seseorang itu kepada kafir."
(Hadis)

     Seorang yang memperolehi berjuta-juta ringgit tetapi tidak menunaikan hak harta dan hak ke atas orang-orang yang layak menerimanya maka dia adalah orang miskin pada hatinya dan dengan yang demikian berkemungkinan sahaja bertukar menjadi kafir. Si kaya yang tidak menyempurnakan hak yang ada pada hartanya, akan dibinasakan dan dihapuskan.

(Bersambung...)
[Bab 40, Meniti Debaran zaman]
     

Friday, February 19, 2010

Kaum-Kaum Lain Akan Melancarkan Serangan Terhadap Orang-Orang Islam

     Diriwayatkan daripada Thauban r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Suatu masa akan tiba apabila kaum-kaum yang berjiran (atau suatu bangsa) akan melancarkan serangan ke atas orang-orang Islam lalu menghasut di antara satu sama lain dengan katanya : "Mari kita serang dan ceroboh orang-orang Islam (penempatan, tempat tinggal, bandar dan negara mereka), dan mereka ajak-mengajak sesama mereka seumpama seorang yang sedang mengahadapi suatu hidangan yang besar (yang mana makanan yang ada itu melebihi daripada cukup). Dengan fikiran yang tenang dan yakin mereka mengajak sesama sendiri untuk menyerang."
     Lalu Para Sahabat pun bertanya : "Apakah orang-orang Islam merupakan golongan yang kecil pada ketika itu?"
     Jawab Rasulullah s.a.w. : "Orang-orang Islam pada ketika itu adalah seumpama sampah yang dibawa air bah. Akan wujud penyakit "wahn" (lembam dan pemalas) di dalam hatimu dan rasa gerun terhadapmu daripada hati pemusuh-pemusuhmu akan tercabut. Sebab terjadi demikian ialah kerana kamu sibuk dengan dunia dan mencintainya dan takut akan mati."
(Abu Daud)

     Lihatlah dan renunglah dengan kenyataan yang telah diberitahu kepada kita oleh Rasulullah s.a.w. sejak lama dahulu dan kita sedang melihat akan perkara tersebut berlaku di depan mata kepala kita. Tanah sekangkang kera yang dikuasai oleh Israil yang dikelilingi oleh negara Islam tidak dapat berbuat sesuatu apa pun untuk menghalang bangsa tersebut melakukan kejahatan dan kezalimannya terhadap orang-orang Islam serta niat peluasan kawasannya.

     Pemimpin-pemimpin Islam terlalu sibuk dengan harta benda mereka (rial dan dollar) untuk membeli barang-barang mewah bagi menghiasi banglo dan tempat kediaman mereka serta istana-istana mereka yang baru dibina sehingga mereka tidak ada masa untuk mendengar kepada keperluan-keperluan yang mendesak pada masa kini.

     Mereka asyik dengan minum minuman keras, makan malam, tari menari dan nyanyi nyanyian, perzinaan dan wanita-wanita yang terus sama sekali lupa dan tidak lagi menghiraukan masa mati, kubur dan neraka. Siang dan malam mereka sibuk membina dunia yang sementara ini yang akibatnya langsung mereka tidak mengambil endah untuk membangun kebenaran. Bukanlah mereka mahu mempelajari Al Quran dan Hadis, namun sebaliknya mereka mengamalkan sistem pendidikan Eropah dan bukanlah juga mereka mahu menurut jejak langkah Rasulullah s.a.w. tetapi sebaliknya mereka melaram dan mengambil cara hidup khayalan Barat dan moralnya.

     Setelah mereka mula menggugurkan fikiran terhadap semangat jihad, bangsa-bangsa yang berjiran itu pun menganggap orang-orang Islam ini sebagai barang rampasan yang mudah dirampas lalu dengan segera melancarkan serangan terhadap mereka. Serangan ini dilakukan untuk memenuhi matlamat mudah mereka.

     Sepertimana seorang yang sedang menghadapi makanan, duduk di meja makanan mendapat hidangan makanan yang melimpah ruah lalu mengajak orang-orang lain untuk makan bersama-sama tanpa rasa bimbang dan rasa bersalah, maka bangsa-bangsa lain pun akan mengajak yang lainnya pergi menyerang orang-orang Islam.

     Penyerang-penyerang ini tidak akan merasa apa-apa kerugian pun sama ada daripada segi manusia dan wang sebab yang terjadi begini hanyalah kerena kecintaan dunia yang telah mencabut keluar sifat-sifat Iman dan Islam seperti pengorbanan, mujahadah dan kerja keras dan lain-lainnya daripada masyarakat Islam sehingga bangsa-bangsa lain berfikir bahawa orang-orang Islam yang telah leka dengan makanan enak ini tidur lena yang membolehkan mereka membuat apa sahaja yang mereka sukai.

     Walaupun orang-orang Islam ramai, namun apabila mereka meninggalkan fikiran jihad dan maut maka masa yang beginilah menyebabkan bangsa-bangsa lain itu melancarkan serangan kilatnya yang menyebabkan kerugian besar terhadap orang-orang Islam. Inilah yang sedang kita perhatikan hari ini.

     Apabila mereka terbabit di dalam pemburuan harta yang melampau-lampau maka tercetuslah sikap dengki mendengki di antara satu sama lain, berdendam, bermusuh-musuhan, busuk hati, pertengkaran dan perbalahan, yang akibatnya menggoncang kekuatan dan keutuhan mereka.

     Apabila negara-negara Islam menjadi lemah dan tidak bermaya setelah berperang di antara satu sama lain maka peluang pun terbuka kepada bangsa-bangsa lain untuk bertindak. Iran dan Iraq yang berperang berbunuh-bunuhan satu sama lain mengambil masa 2 tahun lebih. Mereka membuka peluang dan ketagihan bangsa-bangsa lain yang berada di sekeliling mereka.

     Begitu juga jika negara-negara Arab masih tidak mahu bersatu dan sentiasa hendak menyembelih tengkuk orang-orang lain, maka keadaan yang sama akan terjadi di sana yang akan menarik juga kuasa-kuasa luar ke sana.

(Bersambung...)
[Bab 39, Meniti Debaran Zaman]

Tuesday, February 16, 2010

Akibat Bala Bencana Hebat Yang Menimpa, Orang Akan Pergi Ke Kubur Lalu Bercita-Cita Untuk Mati

     Telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r. 'anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Tidak akan terjadi Kiamat sehinggalah melewati seseorang akan kawasan perkuburan lalu bercita-cita : "Alangkah baiknya jika aku ini sebagai ganti bagi si mati ini."
  
      Di dalam hadis yang lain dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Aku bersumpah dengan Zat Yang Maha Berkuasa yang memegang nyawaku bahawa tidak akan Kiamat dunia ini sehinggalah seorang pergi ke kawasan perkuburan lalu menelan debu lantas berkata : 'Sepatutnyalah aku mengambil tempat si penghuni kuburan ini. Alangkah bagusnya jika aku telah berada di dalamnya! Cita-cita untuk kematian yang demikian bukanlah atas alasan memelihara Iman dan Agama tetapi lantaran nasib yang menimpa serta bala bencana dunia yang melanda."
(Muslim, Jilid 2, ms 394)

     
Catatan
     Orang-orang duniawi sekarang ini sedang mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi dan membeli barang-barang yang mewah untuk menghiasi bangunan tersebut sebagai cara untuk berseronok-seronok. Kegiatan manusia ini terus meningkat dari sehari ke sehari tetapi ketenangan dan kepuasan hati yang sebenar hanyalah diperolehi daripada mengingati Allah. Jikalau perkara ini tidak wujud, hasil yang terjadi hanyalah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. : 'Aku tidak takut dengan kemiskinan umatku tetapi aku takut apabila pintu khazanah dunia dibukakan, maka orang ramai akan dengki mendengki di antara satu sama lain lalu berebut-rebut untuk memperolehi harta benda tersebut sepertimana yang telah dilakukan oleh orang-orang Yahudi dan Nasara. Lantaran itu mereka akan terbinasa sebagaimana binasanya orang-orang Yahudi dan Nasara."
(Bukhari, Jilid 1)

     Renungilah akan perkara tersebut. Manusia menganggap bahawa hartanya, tanah ladangnya, bengkel dan kilang dan sebagainya merupakan jalan penyelesaian dan rawatan terhadap segala penderitaan dan kesakitannya lalu mengejar benda-benda itu seumpama orang gila.

     Untuk memperolehi segala harta benda ini dia memicingkan matanya terhadap erti kemanusiaan dan sekarang ini tanpa ada sedikitpun tertanam rasa hati nuraninya maka mereka merampas dan mensia-siakan hak kaum kerabat, anak yatim dan janda-janda miskin. Namun janganlah mereka lupa, bahawa masanya akan tiba apabila sedeqah tidak dilakukan dan juga zakat diabaikan maka perkelahian dan perbalahan akan terus meningkat di antara si kaya dengan si miskin (yang orang-orang Komunis menyebutnya sebagai peperangan antara kelas).

     Akan wujud peperangan antara pemerintah dan yang diperintah, awam dengan kerajaan. Maka musnahlah ketenteraman di bandar dan di desa. Perhubungan di antara suami isteri, anak dan ibu bapa akan pecah berkecai. Terhapusnya sikap percaya mempercayai di antara satu sama lain.
  
    Justeru, rumahtangga akan menjadi sebahagian daripada contoh-contoh neraka. Pada ketika inilah maka seorang akan melewati kawasan perkuburan lalu dia bercita-cita bahawa sepatutnya dia telah mati lama dahulu dan sedang tidur di dalam salah sebuah liang kubur dan alangkah amannya dia kerana dapat bebas daripada bala bencana dan malapetaka yang sedang merata ini.

     Rasulullah s.a.w. telah memberitahu Para Sahabat-sahabatnya yang mempunyai pendirian agama yang kukuh bahawa : "Seseorang akan berharap lantaran dilanda malapetaka ini agar mati pada hari itu."

     Para Sahabat r. 'anhum yang kukuh pegangan agama mereka lalu berharap dapat mati di dalam bencana tersebut kerana agama. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab bahawa mereka bukan mati lantaran kemalapetakaan dalam agama tetapi kerana dilanda oleh kemalapetakaan duniawi.

     Manusia akan cuba lari daripada tipudaya manusia, perbalahan dan peperangan.

     Makna yang lain ialah bahawa ketika mana manusia itu telah terbiasa dengan hidup mewah, maka apabila menjelangnya Kiamat, segala peraturan dunia ini akan menjadi tunggang terbalik - akan terjadi perampasan dan perampukan, keganasan, pemerintahan dan pegawai yang jahil, meluasnya rasuah. Keputusan akan diambil melalui penganiayaan dan rasuah maka yang demikian banyaklah keperluan-keperluan manusia tidak dapat diperolehi lantaran segala urusan dan peraturan telah terkubur.

     Disebabkan kemalapetakaan dan peperangan-peperangan yang berlaku ini maka tertahanlah rahmat Allah terhadap penduduk dunia ini, sebaliknya kemurkaan Allah akan turun ke atasnya. Hasilnya manusia akan berasa bimbang dan susah hati mengenai makanan dan pakaiannya. Untuk membeli barang-barang asas keperluan manusia seperti gandum, beras, minyak, teh, gula dan sebagainya maka manusia terpaksa beratur panjang untuk mendapatkannya.

     Kerana kecewa dan bosan dengan kebimbangan-kebimbangan dan ketegangan-ketegangan ini maka manusia akan menuju ke kawasan perkuburan lalu menelan debu yang ada di sana sambil berharap-harap bahawa sepatutnyalah dia telah mati dahulu dan betapa gembiranya dia kerana terlepas daripada kesusahan dan kebimbangan yang sedang melanda sekarang ini. Dengan sebab inilah Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa : "Kecelakaan dan kesusahan ini adalah kerana duniawi", dan kerana itu pun manusia berharap untuk mati. Zaman yang semakin jauh dari zaman kenabian adalah zaman yang lebih besar kerosakan dan kejahatannya. Maka berharap-haraplah manusia untuk mati kerana landaan arus bencana dan kemalapetakaan dunia ini.

Masalah
     Tidaklah dibenarkan kita berharap-harap untuk mati kerana ditimpa malapetaka dan kebimbangan dunia tetapi ia adalah harus jika harapan itu dibuat kerana takut akan kehilangan Iman dan pegangan agama Islam.

(Bersambung...)
Bab 38 [Meniti Debaran Zaman]

Friday, February 12, 2010

Cerita Tentang Poligami (Bahagian Keempat)

     Sebenarnya, kalau nak diceritakan tentang perkara ini, begitu menarik bagi yang berminat, terutamanya kaum Adam. Bagi sesetengah kaum Hawa ia begitu sensitif hendak diperkatakan, namun masih ada lagi yang begitu terbuka akan hal ini. Tapi tak apa, sebelum itu saya nak ceritakan maksud atau erti poligami ini mungkin masih ada yang samar-samar dengan kahwin poligami ini. Jadi, kita kena tahu dulu apa sebenarnya poligami ini sehinggakan banyak pihak menidakkan perintah Allah Ta'ala ini.

     Dalam antropologi sosial, poligami (dari bahasa Greek, ertinya perkahwinan banyak) merujuk kepada perkahwinan di mana seseorang itu berkahwin dengan beberapa orang sekaligus. Dalam Islam, poligami dibenarkan, iaitu seorang lelaki dibolehkan berkahwain dua, atau tiga atau empat apabila mampu dengan syarat dan keadaan tertentu. Walau bagaimanapun, Islam menetapkan si suami berlaku adil dan saksama kepada isteri-isterinya.

    Dalil Al Quran tentang dibolehkan berpoligami : "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. (Surah An-Nisaa' : Ayat 2)

   Jadi, perkara di atas telah menerangkan lebih lanjut tentang berpoligami di dalam Islam dibolehkan dan memberi gambaran kepada kita bahawa Islam merupakan agama fitrah yang mengikhtirafkan kepelbagaian keperluan dan kehendak dalam hidup berpasangan. Bagi memastikan amalan poligami ini diamalkan secara adil dan memberi kesejahteraan kepada keseluruhan umat Islam, Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu iaitu :
     1. Berkemampuan untuk menyarai nafkah isteri-isteri dan anak-anak; dan
     2. Berlaku adil kepada isteri-isteri.
         i. Adil dalam menyediakan kediaman;
         ii. Adil dalam giliran malam; dan
         iii. Adil dalam musafir.
     3. Memberi didikan agama kepada isteri-isteri.

     Sebenarnya banyak manafaat yang boleh diambil dari poligami ini atas sebab ia disyariatkan oleh Allah s.w.t. yang Maha Bijaksana yang mengetahui kebaikan yang tersembunyi tanpa tercapai oleh ilmu dan pemikiran manusia. Manafaat yang dapat kita ambil dari kebaikan poligami ini adalah seperti berikut :
     a. Bagi isteri yang telah lanjut usia dan mengalami kesakitan, ia akan menyebabkan si suami hilang tumpuan dari segi batin, caranya dengan berpoligami bagi mengelak dia membuat perkara yang dilarang di sisi Islam;
     b. Menambahkan hubungan antara keluarga dengan ikatan yang dibuat;
     c. Kehormatan wanita akan terjaga bila ia dilindungi oleh kaum Adam yang ingin mengambilnya sebagai isteri;
     d. Mengelak berlakunya perzinaan terutamanya kaum lelaki yang akan menyalurkan keinginan nafsunya ke tempat yang haram.
     e. Mengelakkan perceraian bila terdapat isteri-isteri yang tidak dapat melahirkan anak;
     f. Kebanyakan lelaki yang sering bermusafir ia memberi manafaat kerana tidak melakukan perzinaan apabila dia amat memerlukan;
     g. Bagi isteri-isteri yang kematian suami, mereka dibantu oleh para suami dengan berpoligami;
     h. Memberi kesempatan yang lebih besar untuk para isteri beramal apabila giliran isteri yang kedua;
     i. Mengeratkan lagi kasih sayang apabila perjumpaan antara isteri-isteri digilirkan;
     j. Menambahkan keturunan-keturunan;

     Dalam melayari rumahtangga yang sebegini diperlukan pengorbanan yang begitu tinggi dikalangan isteri-isteri mahupun para suami yang ingin dan sudah berpoligami. Kesabaran yang tertanam dalam diri perlu diperkuatkan agar rumahtangga yang dibangunkan dapat membentuk rumahtangga yang selari dengan lunas-lunas Islam. Untuk para suami yang berpoligami dengarkanlah nasihat dibawah ini :
     a. Bersikap adil dalam semua perkara-perkara dari yang sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besar perkara dan elakkanlah pertimbangan yang tidak adil atau berat sebelah dalam membuat keputusan;
     b. Berlaku adil juga ke atas anak-anak bagi kesemua isteri-isteri;
     c. Sentiasa memuji-muji kesemua para isteri dengan sama rata dan dorongankan dalam diri mereka memberi kecintaan hanyalah kepada Allah s.w.t. serta mencari keridhaan suami;
     d. Sembunyikanlah cerita-cerita dari isteri-isteri dikalangan mereka agar tiada kalangan mereka yang membangga diri;
     e. Elakkan memuji kelebihan isteri-isteri di depan isteri yang lain kerana boleh menyebabkan permusuhan dikalangan mereka; dan
     f. Nasihatkan isteri-isteri dari memburuk antara satu sama lain.

     Bagi isteri yang pertama, mungkin begitu berat bebanan perasaan yang dihadapi bila kasih sayang dikongsi bersama dengan wanita yang lain. Perlulah ditanamkan dalam diri dengan perkara-perkara yang sebegini :
     a. Bertakwa dengan Allah dan bersabarlah atas apa yang telah ditentukan;
     b. Reda dengan kekurangan yang ada pada diri yang menyebabkan suami berpoligami dan ia mungkin petunjuk dari Allah s.w.t.;
     c. Jangan memburukkan suami samada di depan atau dibelakangnya, atas kesabaran begini akan menjadi teladan yang baik kepada wanita-wanita yang menentangi syariat poligami ini;
     d. Elakkan mendengar ucapan-ucapan yang mempunyai niat buruk untuk menghancurkan hubungan antara suami dan isteri dan perlu diteliti betul-betul sebelum menerima ucapan tersebut;
     e. Jangan tanamkan kebencian dan permusuhan dihati anak-anakmu kepada isteri-isteri suamimu dan anak-anak mereka kerana kamu adalah bersaudara; dan
     f. Janganlah berubah sikap terhadap suamimu kerana ia adalah tipuan syaitan dan berdoalah kepada Allah s.w.t. agar diberi taufik dalam menjalani syariat ini.

     Nasihat untuk isteri yang baru dinikahi, tolong amalkan sifat-sifat ini :
     a. Kerelaanmu dinikahi oleh seorang yang telah beristeri adalah kebaikan yang besar dan menunjukkan kuatnya iman dan takwa dalam hatimu;
     b. Gunakanlah waktu luangmu untuk menambahkan amalan-amalan yang diredhai oleh Allah s.w.t.;
     c. Janganlah jadi penghalang bagi wanita-wanita lain untuk menegakkan syariat poligami ini;
     d. Bantulah isteri-isteri suamimu dan anak-anak mereka bila mereka memerlukan pertolongan kerana perbuatan sebegini memberi keredhaan Allah s.w.t. serta menumbuhkan sifat kasih sayang antara kamu;
     e. Janganlah memburukkan isteri suami dan menceritakan keburukan dan kelemahan isteri suamimu kerana ia adalah perangkap syaitan; dan
     f. Jangan kamu menerbitkan permusuhan antara suami dan isteri-isterinya lain kerana semata-mata untuk mendapat perhatian suami dan banyaklah mengalah kerana ini akan mendatangkan kebaikan yang besar bagi dirimu.

     Kesimpulannya, poligami merupakan hukum Allah yang mempunyai hikmah dan manfaat yang besar baik bagi individu, masyarakat dan umat Islam. Penolakan yang berlaku sekarang adalah kerana kenipisan masyarakat tentang poligami yang menyebabkan syariat ini diragui sehinggakan menganggap ia sebagai sumber kepada kesengsaraan dan kehinaan wanita. Bagi saya, setiap perintah yang diturunkan oleh Allah s.w.t. pasti terselindung kebaikan yang banyak, yang tidak dapat diungkap dengan mata kasar yang tidak menggunakan cermin mata yang berjenama iman dan amal.

  Rujukan :     
1. Poligami, Wahyu Illahi Yang Ditolak Oleh Muhammad Abdul Thasikal;
2. Poligami, Bukti Keadilan Hukum Allah Oleh Ustaz Abdullah Bin Taslim Al-Buthoni;
3. Wikipedia Esiklopedia Bebas; dan
4. Pendapat Orang Ramai.

Monday, February 8, 2010

Azab Di Dunia Bagi Orang Yang Melakukan Perzinaan

     Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa apabila meratanya perzinaan di dalam sesuatu masyarakat, maka meningkatlah kematian.
(Hadis)

     Berbagai-bagai jenis penyakit bertambah di dalam sesuatu masyarakat dan akhirnya ramailah yang mati.

     Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa jika bertambahnya perzinaan di dalam sesuatu masyarakat, maka Allah Ta'ala akan menyebabkan kekurangan makanan di dalamnya.

     Akibat yang tidak dapat dielakkan daripada perzinaan ialah berlakunya pertambahan penyakit yang serius dan mengerikan di kalangan lelaki dan wanita dan berikutan daripadanya kematian pun bertambah. Kemarau dan kekurangan makanan akan nampak di banyak tempat.

     Pada hari ini ladang ditenggala dan berbagai-bagai benih dipelihara tetapi seorang pun tidak mempedulikan untuk memelihara benih, "kegemilangan bagi makhluk". Rasulullah s.a.w. telah nampak akan peristiwa perzinaan dan kemaharajalelaannya yakni bertambahnya kejadian perzinaan dan perogolan daripada hari ke hari. Setiap orang mengetahui perkara itu benar-benar terjadi.

(Bersambung...)

[Meniti Debaran Zaman, Bab 37]

Saturday, February 6, 2010

Seorang Lelaki Akan Menyarai Lima Puluh Orang Wanita

     Diriwayatkan daripada Anas r. 'anhu bahawa beliau telah mendengar daripada Rasulullah s.a.w. bersabda : "Ini adalah salah satu tanda-tanda Kiamat bahawa akan meratanya kejahilan, ilmu pengetahuan akan menurun, perzinaan akan merebak, arak dan minuman akan diambil secara terbuka, bilangan orang lelaki akan berkurangan sementara bilangan wanita-wanita akan bertambah sehingga setiap lelaki akan menyarai lima puluh orang wanita."
(Bukhari, Jilid 2, ms 836)

     Pendidikan Moden

     Sebab utama yang membawa kepada kejahilan itu ialah pendidikan moden yang tidak seimbang yang telah diberikan di sekolah, kolej dan sebagainya di serata dunia.

    Pendidikan yang diceraikan sama sekali daripada didikan agama dan akhlak, maka pendidikan yang sedemikian akan melahirkan golongan-golongan yang mengejar kebendaan dan golongan-golongan utilitarian yang hanya mementingkan pencapaian sesuatu tanpa mengambil kira perkara akhlak, keindahan, agama dan lain yang menghapuskan hati nurani dan akal budi.

     Mereka tidak berhemat dan tidak menuruti garis-garis akhlak di dalam membuat perhubungan sesama manusia, perniagaan dan muamalat, pentadbiran dan politik, begitu juga di dalam bidang kajian sains serta rekaan. Di atas nama kepentingan nasional dan kepentingan diri mereka tunduk setunduknya ke tahap yang paling bawah dan hina.
  
     Seorang pemuka Amerika, George Washington telah berkata : "Berusaha keraslah untuk menyemarakkan sesuatu di dalam dadamu yang mencetuskan satu percikan api daripada alam luas yang dikenal sebagai 'suara hati'."

     Malangnya pendidikan sekuler pada hari ini melakukan segala cara untuk memadamkan percikan api ini.

     Tanpa moral, sifat kemanusiaan dan pemikiran ukharawi, pendidikan sekuler sekarang ini lalu membentuk di dalam diri para graduan fikiran duniawi semata. Kehidupan yang sempurna kepada mereka ialah kehidupan yang cepat dan segera - arak, wanita dan pemburuan hidup yang sia-sia. Dan bebas lepas.

     Jikalau pendidikan begitu betul-betul menanamkan sifat-sifat kemanusiaan dan akhlak tidaklah para saintis mencipta dan menimbunkan senjata-senjata bahaya.

     Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa jika  pengajaran akhlak (yakni yang berteraskan Al Quran dan Hadis) berkurangan, maka meningkatlah kejahilan walaupun ijazah dan sijil begitu banyak tetapi akhlak tidak menyinggah pada diri pemegang-pemegang ijazah dan sijil tersebut. Maka yang demikian mereka akan bergelumbang di dalam perzinaan dan minum arak.


     Pertengkaran dan perbalahan akan meningkat. Perbalahan ini akan menjurus kepada peperangan yang dashyat membunuh berjuta-juta orang lelaki lalu meninggalkan wanita-wanita hidup yang tidak terbabit di dalam peperangan. Yang hidup ini menghadapi masalah besar sehingga dengannya seorang lelaki terpaksa bertanggungjawab menyarai lima puluh orang wanita, maka tidaklah dapat dibayangkan betapa ramainya lagi perzinaan akan berlaku.
  
     Maka penuhlah dunia ini denga perzinaan, arak dan pembunuhan dan penyembilhan. Secara tabi'inya maka berkuranglah penduduk lelaki, yakni ramailah yang mati lalu yang demikian yang masih tinggal terpaksa menyarai lima puluh orang wanita.

Wednesday, February 3, 2010

Siapa Superhero Sebenarnya?

     Di kaca TV dan pawagam sering kita lihat, cerita mengenai kepahlawanan hero-hero yang digambarkan sebagai penyelamat kepada manusia-manusia yang tertindas. Seperti Spiderman, Superman, Batman, Cicakman, Ultraman dan banyak lagi hero-hero yang dikatakan memberi keamanan kepada manusia sejagat.
  
     Namun, yang pasti semua hero-hero ini hanyalah khayalan yang pasti tidak wujud di alam nyata ini. Mereka ini wujud dalam cerita-cerita yang diolah oleh pembuat filem-filem. Tujuannya lebih kepada komersial dan sedikit impak kepada kesedaran iaitu perlu seorang hero bagi penyelamat kepada manusia. Namun, belum lagi kita terjumpa, terlihat atau tergambar watak-watak ini dalam kehidupan manusia sekarang ini. Mungkin juga ada di kalangan kita yang mempunyai watak-watak sebegini namun tidak ditonjolkan ataupun ditenggelamkan bagi mengelakkan kebaikan, keharmonian dan keamanan wujud.

     Wujudnya hero-hero yang ada di filem-filem sekarang ini sebenarnya imaginasi pembuat cerita yang berbentuk kepahlawanan yang inginkan dunia  ini aman dibawah kepahlawanan hero-hero tersebut. Mungkin juga sekadar memberi inspirasi di jiwa manusia untuk mewujudkan orang-orang yang akan menyelamatkan manusia dan dunia agar tidak berlaku kehancuran di muka bumi ini.

     Contoh yang terdekat yang boleh kita kongsikan, iaitu cerita superhero melayu iaitu Cicakman yang digarap oleh Yusri Abdul Hamid, yang mana sinopsisnya seorang superhero yang ingin menyelamatkan dunia ini dari cengkaman manusia-manusia jahat dan klimaks cerita ini berakhir dengan kemenangan kepada hero tersebut. Begitu juga dengan superhero-superhero yang ditonjolkan oleh pembuat filem di luar negara yang ingin menonjolkan kehebatan hero masing-masing sebagai penyelamat kepada umat manusia.

     Mukadimah kepada maksud yang ingin saya luahkan di sini adalah, siapakah superhero sebenar manusia di muka bumi ini? Macamana kita nak tahu seorang itu superhero atau penyelamat kepada manusia sekarang ini. Cuba kita luaskan skop kita antara empat kutub yang ada di muka bumi ini, kutub selatan, kutub utara, kutub timur dan kutub barat. Dan semua kutub-kutub ini diliputi oleh manusia yang pelbagai beza bentuk, saiz, pertuturan, warna kulit, pemikiran, agama, adat, kebudayaan, cara kehidupan dan banyak lagi perbezaan yang Allah ciptakan dalam diri manusia ini. Bagaimana kita nak manusia yang mempunyai pelbagai kehendak, sifat, sikap dan banyak lagi dibawah seorang superhero?

     Jika kita berbalik ke zaman dahulu, pasti kita akan terjumpa dengan manusia-manusia sebegini yang boleh menyatukan umat manusia di bawah satu bendera. Siapakah mereka itu? Sahabat-sahabat r. 'anhum. Di bawah bendera apa yang boleh untuk kita satukan umat manusia ini? Bendera Iman iaitu kalimah Laailaahaillah, Muhammadurrasulullah. Namun, zaman tersebut telah berlalu tapi kesan yang ditinggalkan oleh mereka-mereka yang berjuang untuk menyelamatkan manusia dari kehancuran di dunia malah di akhirat tidak dapat dinafikan sehinggakan manusia telah mengalami revolusi kehidupan yang agung dan moden di muka alam ini. Dan mereka inilah sebenarnya penyelamat kepada nilai-nilai kemanusiaan yang semakin pudar pada zaman itu dan menjulang nilai-nilai kebaikan yang mencorak kehidupan manusia ke arah yang diredhai oleh Allah s.w.t. Para Sahabat diumpamakan sebagai bintang-bintang di langit oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu maksudnya mereka ini boleh dijadikan sebagai ikutan dalam kehidupan manusia yang ingin kejayaan dunia dan akhirat.

     Sekarang ini, adakah lagi manusia-manusia sebegini yang wujud di muka bumi ini? Adakah layak untuk kita memperbandingkan keadaan kita sekarang dengan keadaan para Sahabat r.'anhuma yang telah mencapai kegemilangan yang terbilang dan cemerlang?

     Kejayaan seperti yang diperolehi oleh para Sahabat r. 'anhuma masih boleh dikecapi oleh umat akhir zaman ini, jika kita ikut jejak yang telah ditunjukkan oleh para Sahabat r. 'anhuma. Rasulullah s.a.w tlah bersabda : "Suatu malapetaka besar akan menimpa umat ini yang mana manusia tidak dapat lagi mencari perlindungan daripada kezaliman. pada masa tersebut Allah akan menzahirkan seorang daripada keluarga dan keturunanku yang akan memenuhi dunia ini dengan keadilan sebagaimana dunia ini sebelumnya dipenuhi dengan kezaliman. Sebelum zamannya tidak terdapat apa-apa tanda adanya keadilan dan persamaan. Kezaliman akan berlaku di merata-rata tempat tetapi selepas kedatangannya bumi akan menikmati semula keadilan."

     Jadi, bilakah datangnya Imam Mahadi yang telah disebut-sebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu superhero yang akan menyelamatkan keadaan dunia pada masa itu? Adakah kita sempat untuk berdamping dengan beliau? Atau adakah kita terpilih untuk bersama beliau menegakkan keadilan atau jadi penentang kepada beliau?

 

Anggaplah Hari Ini Lebih Baik Daripada Besok Dan Hiduplah Menurut Sewajarnya.

     Zubair Ibn 'Adi r. 'anhu meriwayatkan : "Kami pergi menemui Anas r. 'anhu lalu, mengadu mengenai Hajjaj bin Yusuf (Penzalim yang terkenal kerana telah membunuh 100,000 orang). Beliau (yakni Abas r. 'anhu) berkata : "Bersabarlah ! Tidak akan ada suatu masa yang akan datang lebih baik daripada yang sebelumnya sehinggalah kamu bertemu dengan Tuhanmu. Inilah yang telah aku dengar daripada Rasulullah s.a.w.
(Bukhari)

     Masa berlalu dan jarak masa dengan zaman Rasulullah s.a.w. bertambah jauh, maka manusia semakin lama semakin menyimpang daripada garisan agama dan aqidah. Justeru, kita sedang melihat kebenaran daripada peribahasa : "Seperti mana rakyat, begitulah rajanya (pemerintahnya)."
     Sepertimana keadaan roh, begitulah malaikatnya. Inilah kata-kata Hukamak. Lantaran itulah Rasulullah s.a.w. ada bersabda : "Janganlah kamu mengutuk masa, kerana Allah Ta'ala berfirman : "Aku adalah Masa."
(Hadis)

     Segala perubahan, perubahan nasib dalam jatuh bangunnya, kerosakkan akhlak, harga barangan mahal, kemelesetan, inflasi dan sebagainya yang melanda dunia ini adalah dengan perintah Allah. Manusia berfikir ini adalah disebabkan kerajaanlah yang melakukan semua ini. Tetapi Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa ini bukanlah dibuat oleh manusia : "Apa sahaja yang berlaku adalah dengan perintah Allah Ta'ala. Naik turunnya harga di pasaran adalah juga dengan perintahnya."
(Hadis)

     Justeru, semakin manusia ini jauh daripada zaman Rasulullah s.a.w. atau seumpamanya (nabi-nabi yang lepas), maka semakin bertambahlah manusia itu terjatuh ke dalam kancah kemaksiatan yang membawa akibat turunnya 'azab daripada Allah Ta'ala yang turun di dalam bentuk perutusanNya akan raja-raja dan pemerintah-pemerintah yang zalim ke atasmu.
   
     Maka janganlah kamu mengadu halmu mengenai Hajjaj, kerana akan datang lagi keadaan yang terlebih buruk yang sebenarnya kita sedang menyaksikannya. Sekarang ini tidak kedapatan lagi walaupun 1/10 daripada perhubungan, pertalian, cinta kasih, persaudaraan, tolak ansur, rasa malu dan kehormatan diri yang telah wujud dalam jangka 30 - 40 tahun yang lepas. Kemerosotan akhlak terus meningkat dan akan terus meningkat.

(Bersambung...)

[Bab 35, Meniti Debaran Zaman]

Monday, February 1, 2010

Ditukar Menjadi Kera Dan Babi

     Perkara ini telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. sejak 1,400 tahun dahulu. Para Sahabat r. 'anhum meriwayatkan perkara yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w. ini untuk umat yang akan datang.

     Abu Malik Asy'ary r. 'anhu berkata : "Demi Allah Yang Maha Tinggi, bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah memberitahu kepadaku akan perkara yang palsu. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : "Akan muncul kumpulan-kumpulan yang sedemikian di kalangan umatku yang akan menganggap perzinaan dan sutera itu halal. Mereka beranggapan arak dan minuman keras sesuatu yang dibenarkan. Mereka juga beranggapan nyanyi-nyanyian dan muzik juga dihalalkan. Mereka akan berkhemah (berdiam) berhampiran gunung. Binatang ternakan mereka akan memakan rumput berhampirannya. Seorang peminta sedekah akan menemui mereka lalu meminta sesuatu kepada mereka. Dia akan disuruh datang keesokan harinya. Azab Allah tertimpa ke atas mereka pada malam tadi. Gunung itu pecah berkecai lantaran gerak gempa. Sebahagian mereka akan mati dan sebahagian akan bertukar menjadi kera dan babi sehingga ke hari Kiamat."
(Bukhari, Jilid 2, ms 837)

     Hadis ini tidaklah bertentangan dengan Hadis lain yang mana Rasulullah s.a.w. ada bersabda : "Azab yang berupa gerak gempa dan penjelmaan (pertukaran bentuk) tidak akan mengenai umatku."
(Hadis)

     Maksud hadis ini ialah bahawa azab secara umum yang sebelum ini ditimpakan ke atas umat-umat nabi-nabi sebelumnya tidak akan terjadi yang menyebabkan mereka terhapus sama sekali daripada permukaan bumi ini. Tetapi azab seumpama ini akan ditimpakan ke atas sekumpulan manusia yang kegiatan-kegiatan mereka yang tidak senonoh seperti yang tercatat di atas.
(Umdatul Qari, Syarah Bukhari, Jilid 21, ms 177)


     Allamah Ibn Arabi juga menekankan perkara yang sama.
(Fathul Bari, Syarah Bukhari, Jilid 21, ms 155)

     Maksud yang lain ialah kecerdasan fikir dan pemahaman serta budi pekerti kumpulan-kumpulan yang sedemikian sudah tidak nalar lagi (tidak dapat membezakan antara baik buruknya), sudah tandus tidak ubah seperti kera dan babi.
  
     Dengan lain perkataan Rasulullah s.a.w. menyatakan bahawa mereka ini akan menganggap perzinaan dan perkara-perkara lucah, tari-menari dan nyanyi-nyanyian serta sukan-sukan yang melalaikan sebagai perkara-perkara yang dihalalkan.

    Renunglah dengan apa yang dikatakan oleh para Ulamak. Dengan mengambil dan menganggap perkara-perkara yang haram sebagai halal, boleh sahaja membawa seseorang itu kepada kafir. Jadi mereka yang minum todi, arak dan sebagainya lalu menganggapnya sebagai halal akan terjerumus menjadi kafir. Tetapi jikalau si peminum ini minum benda-benda ini masih tidak menganggapnya sebagai halal, maka dia adalah pendosa dan tidaklah membawanya kepada kafir.

Penjelasan Yang Lain 
     Mereka mungkin memakai nama orang Islam namun secara hakikatnya mereka adalah kafir. Menurut jalan syari'at, mereka ini dikatakan munafiq. Terdapat sebilangan mereka yang munafiq ini di India, Pakistan dan Eropah (dan lain-lain negeri juga).
     
      Mereka menaja dan menyokong kerja-kerja yang dilarang ini siang dan malam sambil mempersenda-sendakan perintah-perintah agama dan amalan-amalannya. Dengan berlandaskan usaha untuk mengubah masyarakat, mereka memperagakan diri mereka bertentangan dengan Islam. Mereka mulalah menimbulkan keraguan dan pertentangan ke atas pengasingan wanita dan juga pembolehan terhadap dua tiga dan empat isteri, mereka membangkitkan rasa syak wasangka serta mencela pemakaian purdah, janggut dan juga terhadap penunaian Haji.

     Bagi mereka  mencari pengetahuan agama dan pendidikannya adalah merugikan masa semata-mata. Tayangan filem adalah haram tetapi merekalah yang mempertahankan pembolehannya. Wanita-wanita dihasut untuk menjadi agen menentang pengharaman wayang gambar lalu menerbitkan risalah-risalah dan makalah untuk menyatakan bahawa tidak ada salahnya filem-filem ini malahan diperbolehkan dan mendatangkan manafaat. Lantaran mereka rela dibakar daripada ditanam, maka Allah Ta'ala jadikan cita-cita mereka itu ternyata dalam bentuk wasiat dan tulisan mereka.

     Ringkasnya, walaupun mereka mempunyai nama-nama Islam, akan termasuk ke dalam kalangan orang-orang munafiq dan kemurkaan Allah lalu tertimpalah ke atas mereka. 
   
     Mereka akan memuaskan diri di dalam perbuatan-perbuatan terkutuk itu tetapi masih menganggapinya sesuatu yang ringan. Mereka hampir-hampir sahaja mencecah batas kekafiran dan azab akan menimpa mereka.
(Umdatul Qari, Jilid 21, ms 176)

     Perkataan di dalam hadis itu ialah "ma'azif" bermaksud :
     1. Mereka akan menganggap nyanyian itu sebagai halal;
     2. Mereka menganggap permainan gendang itu sebagai halal;
     3. Mereka juga menganggap nyanyian dan para biduanita itu sebagai halal;
     4. Segala peralatan sukan, permainan judi dan suka-sukaan itu sesuatu yang halal; dan
     5. Mereka juga menganggap bunyi-bunyian dan peralatan muzik sebagai halal.
(Umdatul Qari, Jilid 21,146; Fathul Bari, Jilid 12, ms 155)

     Cubalah fikir mengenai orang-orang awam yang telah dicandui dengan program-program radio, TV dan pawagam. Apabila siang malam asyik sibuk dengan benda-benda ini maka rasa hormat terhadap pengharaman program-program, benda-benda itu akan tercabut daripada hati mereka, langsung daripada itu akan menjemput azab Allah yang mana akan menukarkan wajah.
(Kirmani Syahri Bukhari, Jilid 20, ms 147)

     Apabila hati-hati mereka menjadi hitam gelap lalu tertutuplah daya membezakan antara baik dan buruk, halal dan haram. Mereka akan menganggap perkara-perkara dan perbuatan yang buruk itu sebagai suatu yang baik, sebagaimana jelas kita perhatikan dewasa ini. Justeru, Imam Bukhari r. 'alaihi telah meletakkan suatu tajuk : "Mereka akan menganggap arak itu sebagai halal dan menamakannya dengan nama yang lain ke atasnya."
(Jilid 2, ms 837)

     Tidakkah keadaan ini berlaku di dalam masyarakat hari ini? Mereka yang kembali daripada menyaksikan tayangan wayang gambar berkata bahawa mereka sedang kembali daripada mendengar khutbah dan syarahan. Mereka yang minum todi atau arak menyakinkan bahawa mereka  sedang minum air kelangsungan hayat. Yang mendengar radio pula berkata bahawa mereka sedang mendengar syarahan. Mereka yang menonton program TV menyatakan bahawa mereka sedang duduk di dalam suatu majlis yang suci.

     Jikalau para Ulamak mengatakan bahawa ada program TV yang tidak boleh dipertontoni dan tidak sesuai, maka adalah kaki-kaki TV yang akan menulis dan memberitahu mereka bahawa  program tersebut menarik dan dapat memikati masyarakat umum. Tetapi hendaklah mereka sedari bahawa sikap mereka itu adalah hasil daripada azab Allah yang telah membalikkan hati sehingga mereka gagal untuk memahami sesuatu yang baik. Abu Umamah r. 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : "Orang ramai akan kebingungan apabila tanda-tanda azab Allah. Lalu mereka meluru kepada Ulamak(untuk minta pertolongan dan minta maaf), sedang mereka di dalam perjalanan, mereka bertukar menjadi kera dan babi."
(Umdatul Qari, Jilid 21, ms 177)

     Renunglah dengan keadaan masyarakat pada hari ini. Dengan nama Islam dan atas nama kerajaan Islam, lalu menggalakkan serta memuji-muji tarian, nyanyian dan muzik sebagai item-item di dalam kebudayaan, sebenarnya bukan sahaja menghina orang-orang Islam tetapi agama Islam itu sendiri. Item-item yang begini selayaknya menarik turun azab Allah yang amat pedih dan tidak mendapat pandangan Ilahi.

     Sebenarnya TV ini tidak ada tempat di dalam Islam, ia hanyalah sebagai alat untuk membuat dosa, perosak kepada suasana tempatan dan sahabat kepada syaitan. ketika anda memetik suis untuk membuka rancangan, maka dunia maksiat terpampang di ruang mata anda.

     Barat pada masa kini setelah menolak agama lalu bergolak dalam kebingungan dan ketercengangan, melenyapkan rasa ketenangan hati. Merekalah yang merekacipta alat ini untuk memenuhi masa lapang mereka sebagai hiburan untuk menghadapi keadaan hidup yang membosankan dan cuba mencari ketenangan hati dan fikiran melalui alat-alat yang sedemikian, sepertimana para hippies yang mencarinya di dalam arak, candu, marijuana dan LSD (jenis-jenis dadah).

     Sebahagian mereka mencari hiburan melalui alat-alat muzik melalui drum, tabla, tamburin, sarangi, biola, veena dan sebagainya. Sedangkan kepada orang-orang Islam, Allah Ta'ala telah menunjukkan kurnia dan nikmat melalui zikrullah, bacaan Al Quran, salawat, taubat dan istighfar, yakni kurnia dan nikmat yang teramat banyak sehingga hati menjadi tenang, selesa, yakin, rasa puas, kekuatan dan kuasa yang lantaran daripada itu orang-orang Islam tidaklah memerlukan taman-taman bunga, pawagam-pawagam dan alat-alat muzik.

     Apabila sahaja hati menjadi hitam, maka ia memerlukan wanita terlarang dan minuman terlarang. Dan untuk mengatakan akan perkara-perkara haram yang tersebut di atas sebagai kesenian dan kebudayaan Islam adalah sebenarnya mencemar kewarasan dan kesucian pengajaran Islam. Menurut sabdaan Rasulullah s.a.w. bahawa dikatakan perkara-perkara yang diharamkan serta perlakuan-perlakuannya akan terus bertambah sehinggalah perlakuan-perlakuan itu sampai ke batas terakhir maka turunlah kemurkaan (azab) Allah.

(Bersambung...)

[Bab 34, Meniti Debaran Zaman]


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...