Hujan mencurah-curah turun dengan tiupan angin yang kuat, Kuala Lumpur basah lagi malam ini dengan rahmat dari yang Maha Esa. Namun, kenderaan di atas jalan terus bergerak tanpa mempedulikan curahan hujan bertemankan deruan angin yang keras. Manusia terus bergerak, bergerak yang entah ke mana tujuan tanpa penghujung. Yang pasti kita bergerak ke satu destinasi yang sama, iaitu kematian. Zahirnya kita kelihatan ke rumah, ke pejabat dan mana-mana destinasi yang kita tujui, hakikatnya kita menuju ke satu destinasi yang sama iaitu kematian. Cuma perjalanan kita ke arah kematian mempunyai jarak yang berbeza, ada yang 1 tahun, ada 10 tahun dan mungkin jarak perjalanannya mengjangkau atau melebihi 70 tahun. Kesemua perjalanan ini hanya dalam pengetahuan Allah s.w.t. yang akan menetapkannya.
Adakah dalam perjalanan yang kita harungi ini dibekali dengan bekalan yang tahan lama, iaitu bekalan yang boleh untuk kita bawa ke satu alam yang hanya menrima bekalan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Bekalan yang tidak mempunyai tarikh luput, bukannya bekalan yang kita ada di dunia ini yang mudah rosak, tiada kualiti dan kuantiti yang terhad.
Ia bergantung kepada kematangan dan kewarasan kita menilai keperluan yang perlu untuk kita bawa ke alam yang tiada penghujungnya...
Semua orang tahu, satu hari nanti kematian akan datang menjemput kita dan tiada seorangpun makhluk di muka bumi ini akan hidup kekal dan yang kekal hanyalah Allah s.w.t. Setiap makhluk di muka bumi ini, Allah s.w.t. memperuntukkan kematian hanya sekali dalam kehidupan mereka tiada dua, tiga atau lebih untuk kita merasai kematian. Apabila kita melintasi garisan kematian, kita tidak akan dapat berbalik lagi untuk mengulangi kehidupan di alam dunia. Bermulalah kehidupan yang sebenarnya di alam yang kekal, yang tiada penghujungnya, iaitu akhirat. Di situlah tempat yang sebenar-benarnya untuk kita huni dan berkampung.
Adakah tempat yang kita huni itu tempat yang sejahtera atau sebagai tempat seksaan untuk selama-lamanya, bergantung kepada pahala dan dosa kita.
[Manusia hidup di dunia bukan untuk tinggal tetapi untuk pergi. Tidak ada seorangpun yang akan tinggal di dunia, manusia sebenarnya berpindah dari satu alam ke satu alam yang lain. Dari alam rahim ibu ke alam dunia dan seterusnya ke alam kubur. Di dalam kubur mereka akan menunggu sehingga 50,000 tahun hingga hari kiamat. Keadaan manusia selepas mati berbeza-beza, ada setengahnya mendapat kenikmatan dan ada yang menerima azab yang sangat pedih. Bagi orang yang hidup di dunia tidak mengendahkan perintah Allah s.w.t., mereka menerima azab yang tidak terperi dan orang yang di dunia menundukkan hawa nafsunya dan mengikut perintah Allah maka Allah akan ikram(mulia) kepada mereka dengan kehidupan yang penuh kenikmatan sehingga manusia tidak boleh mengira nikmat-nikmat Allah s.w.t. Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya: "Wahai hamba Ku, rasailah nikmat-nikmat Aku". Hamba-hamba itu berkata, "Apa lagi nikmat yang hendak Kamu beri ya Allah, disisi kami masih banyak lagi nikmat-nikmat untuk kami".] Petikan Bayan Maulana Esan.
No comments:
Post a Comment