Thursday, January 14, 2010

Kebetulan atau Kehendak Allah SWT...


     Dalam setiap detik kehidupan kita seharian, pelbagai perkara yang berlaku, ada yang menyeronokkan, menyedihkan, ada yang kita tak suka dan ada yang kita suka mengalami perkara atau kejadian yang berlaku dalam diri kita atau diluar dari diri kita. Kekadang apa yang berlaku tanpa perancangan dan kekadang yang terjadi dengan perancangan yang kita buat. Terjadi juga perkara dengan perancangan yang teratur tapi keputusan tidak memihak ke atas kita dan terjadi juga perkara tanpa perancangan tapi keputusan memihak kepada kita. Begitulah keadaan yang berlaku dalam kehidupan manusia samada atas dirinya atau di luar dirinya samada baik ataupun buruk.
     Adakah kita terfikir, adakah apa yang berlaku atas perancangan kita atau hanya kebetulan ataupun kehendak Allah SWT? Semua yang berlaku dalam kehidupan manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT sejak azali lagi, iaitu jodoh, rezeki dan ajal kita tanpa perancangan dari kita. Cuma yang Allah tidak tetapkan dalam diri kita hanyalah Iman, yang perlu kita usahakan.
     Samada kita sedar atau tidak, kita rasakan dan yakin bahawa ketentuan hidup kita berdasarkan kepada banyak mana usaha yang kita usahakan, iaitu ketentuan berkadar dengan usaha yang kita buat. Itulah fahaman kita bahawa sesuatu perkara akan diperolehi dengan usaha, tanpa usaha tak dapat apa-apa. Jadi, apa-apa kejadian yang berlaku setiap saat dalam kehidupan manusia datang dari ketentuan Allah SWT dan bukannya terjadi dengan sendiri, kebetulan serta perancangan manusia..
     Allah SWT ciptakan, jadikan, bentukkan dan wujudkan pelbagai suasana, keadaan dan peristiwa dengan Sunatullah dan Kudratullah. Secara Sunatullah, Allah SWT jadikan manusia dengan perantara perhubungan lelaki dan wanita lalu melahirkan anak dan Kudratullah, Allah SWT jadikan Nabi Isa AS tanpa  ayah, hanya melalui ibunya Mariam. Lebih mudah diperkatakan bahawa Allah SWT boleh jadikan sesuatu dengan cara yang boleh diterima akal oleh manusia dan Allah SWT boleh jadikan sesuatu dengan cara yang tidak boleh diterima akal oleh manusia.
     Untuk itu, apa-apa yang berlaku samada ia menggembirakan kita atau boleh mendatangkan kesedihan kepada kita, ia datang dengan kehendak Allah SWT dan tiada kaitan dengan makhluk ataupun kebetulan.  Dan kita perlu untuk redha dengan apa yang ditentukan oleh Allah SWT walaupun pada zahirnya yang kita lihat kejadian-kejadian yang berlaku disebabkan oleh ciptaan Allah SWT tapi ia bersumberkan dari Yang Maha Esa.
     Cuma yang perlu kita usahakan adalah amalan-amalan yang disukai Allah SWT dengan cara Nabi Muhammad SAW yang dapat menghindarkan kita dari perkara-perkara buruk dan mendatangkan kebaikan kepada kita walaupun benda itu akan berlaku terhadap kita. Jadi jelas kepada kita, baik dan buruk hanya datang dari Allah SWT namun dapat dihindarkan dengan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Hikmah disebalik keburukkan dan kebaikan yang datang dalam hidup manusia di dunia boleh memberi kesan di dunia dan akhirat, cuma perlu syukur dan sabar atas apa yang berlaku.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...