Bab 2
Kunci Keghaiban : Hanya Allah Sahajalah Yang Mengetahuinya.
Allah Ta'ala mempunyai kekuasaan yang mutlak. Jika dikehendakiNya, Dia berkuasa menghancurkan dunia ini pada hari ini juga. Tetapi perjalanan duniawi adalah berdasarkan asbab (darul asbab). Sesuatu penyelenggaraan atau pengurusan itu memerlukan asbab, namun Allah tidak memerlukan asbab. Jika dikehendakiNya maka akan dikiamatkannya dunia pada hari ini. Tetapi Rasulullah s.a.w telah membuat kenyataan bahawa beberapa perkara tertentu akan terjadi sebelum tibanya Hari Kiamat.
Saya memaparkan buku ini dengan maksud yang sama, yakni untuk menunjukkkan apa yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. Semoga orang-orang Islam membacanya lalu mengambil iktibar bahawa apa sahaja yang telah berlaku telahpun dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan apa sahaja yang diperkatakannya akan berlaku, maka tetaplah akan berlaku. Beginilah hendaknya keyakinan orang-orang Islam, tiada sesiapapun yang mengetahuinya kecuali Allah sahaja.
Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Abbas r. anhu bahawa sesiapa yang mendakwa mengetahui akan lima perkara berikut, maka dia adalah pendusta. Jauhilah ahli nujum, ahli nujum menarik kamu kepada syirik, sedangkan syirik itu perantaraan menuju neraka. (Tafsir Kasy-syaf Jilid 3, ms 505)
Pertama : Pengetahuan mengenai Kiamat;
Kedua : Pengetahuan mengenai masa turunnya hujan;
Ketiga : Jantina dan rupa bentuk bayi di dalam rahim ibu, samada lelaki atau perempuan, cerah
atau gelap. Tidak ada sesiapa yang tahu melainkan Allah;
Keempat : Apakah kerja yang akan dilakukan oleh seseorang itu, baik atau jahat; dan
Kelima : Di manakah seseorang itu akan mati. Tidak ada sesiapapun yang mengetahui akan
kelima-lima perkara ini kecuali Allah Ta'ala sahaja.
Dinyatakan di dalam Tafsir Tabari, bahawa pengetahuan mengenai masa Kiamat tidak diberikan walaupun kepada mana-mana malaikat atau nabi tentang bila masanya, hari apa, siang atau malam. Pengetahuan yang sebenar tidak diberikan kepada sesiapa. (Jilid 21, ms. 88)
Allamah Fakhuruddin Razi r. 'alaihi telah menulis sesuatu yang agak menarik mengenainya. Beliau berkata : "Wahai manusia! Mengapa kamu begitu terkejar-kejar untuk mengetahui bilakah datangnya Kiamat? Mengapakah kamu menyia-nyiakan dirimu atau menghabiskan masa mengenainya? Kamu tidak mengetahui perkara yang kamu kehendaki, perkara yang perlu bagimu, apa yang kamu akan makan dan minum, apa yang akan kamu lakukan esok dan di manakah kamu akan mati. Tidaklah kamu mengetahui akan semua perkara ini. Maka mengapa pula kamu cuba-cuba untuk meramal tentang Kiamat yang kamu sendiri tidak mahu. Hari Kiamat pasti muncul sepertimana bayi di dalam perut ibu akan pasti keluar tetapi kamu tidak tahu bagaimana caranya dia keluar. Sudah memadailah kamu mengetahui bahawa Kiamat itu pasti akan menjelma." (Tafsir Radzi, Jilid 25, ms. 164)
Ditulis di dalam Tafsir Fathul Qadir bahawa kunci keghaiban hanyalah di sisi Allah sahaja. Tidak sesiapapun selainNya yang mengetahui akan datangnya Kiamat (Jilid 4, ms. 246)
Adalah dinyatakan di dalam Tafsir Ibn Abbas, bahawa Allah Ta'ala telah menyembunyikan pengetahuan akan kelima-lima perkara itu daripada hamba-hambaNya. Maka tidak adalah seorangpun yang mengetahuinya. (Tafsir Durri Mansur, Jilid 4, ms. 333)
(bersambung...)
No comments:
Post a Comment