Monday, October 5, 2009

Meniti Debaran Zaman

Bab 4
Ahli-Ahli Peramal Yahudi Menelah Dengan Menetapkan Umur Umat Muhammad Melalui Al Quran
          Orang-orang tertentu daripada ahli ramal Yahudi pada zaman Rasulullah s.a.w cuba menetapkan umur umat umat Nabi Muhammad s.a.w melalui huruf-huruf Al Quran. Selepas menghitung nilai-nilai berbentuk angka bagi huruf abjad Al Quran ini lalu merekapun berkata : 
          " Bagaimana kami akan masuk ke dalam agama ini sedangkan umur umat ini sangat pendek. Huruf abjad Bahasa Arab yang pertama pada permulaan Surah Al Baqarah ialah Alif ,Lam dan Mim. Nilai angka bagi huruf Alif ialah 1, Lam ialah 30 dan Mim ialah 40. Jumlah angka bagi huruf-huruf ini ialah 71."
          Setelah mengira secara ini lalu mereka engan memeluk agama ini kerana katanya umur umat ini hanya 71 tahun. Hoyy Ibn Akhtar berkata : "Allah tidak mendedahkan umur bagi umat yang dahulu tetapi telah mendedahkan umur umatmu tetapi umur yang diberitahu itu sangat pendek. Bagaiman kami akan memeluk agama yang sedemikian?"
          Mendengar ini maka Rasulullah s.a.w pun membaca huruf-huruf muqta'at yang lain yang terdapat di dalam permulaan surah-surah tertentu :
          Alif Lam Mim                    71
          Alif Lam Mim Syod         161
          Alif Lam Ra                     231 
         Alif Lam Mim Ra             271
          Jumlah                           734  
         Maka jawab si Yahudi tadi : "Kamu telah menjadikan kami di dalam keraguan."
         (Taksir Ibnu Kathir (jilid 1, ms 38), (Taksif Fathul Qadir, jilid 1, ms 30)
         Huruf abjad pada permulaan surah-surah tertentu Al Quran sebagaimana yang  tersebut di atas dikatakan huruf muqta'at. Menurut kebanyakan ahli tafsir tidak ada sesiapapun yang mengetahui makna dan maksudnya kecuali Allah Ta'ala. Maksud yang begini dipanggil sebagai mutasyabihat. Di dalam surah Ali 'Imran, Allah berfirman bahawa di dalam kitab yang diwahyukan ini, ada wahyu yang jelas maknanya dan ada yang tidak jelas maknanya kecuali Allah sahaja yang mengetahuinya. Walaubagaimanapun orang-orang yang mendalam ilmunya berkata :
          "Kami beriman kepada ayat-ayat mutasyabihat bahawa semuanya daripada Allah, tetapi hanyalah orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran."
                                                                                                              (Ali Imran : 7)
          Menurut Mazhab Hanafiah, di sini terdapat tanda berhenti "waqaf lazim"  pada perkataan Allah yang wajib berhenti yang maksudnya tidak ada yang mengetahui maksud ayat mutasyabihat ini kecuali Allah. Jadi apabila orang-orang Yahudi tadi mula hendak mengira nilai angka daripada huruf abjad tadi, Rasulullah s.a.w membaca pula ayat yang lain daripada surah yang lain. Si Yahudi tadi tidak dapat lagi mengira dengan sempurna lalu berkata bahawa baginda telah meletakkannya di dalam keadaan kebingungan dan keraguan.
         Banyaklah maksud yang dapat diambil daripada sini serta hujah Yahudi tadi dapat disanggah. Nabi-nabi Allah dan para Rasul tidak terikat kepada logik, perbahasan dan perdebatan seumpama ini seperti mana yang berlaku kepada Nabi Ibrahim ketika berkata-kata dengan Raja Namrud tentang hidup dan mati yang mana orang yang sepatutnya dihukum mati dilepaskannya dan orang yang tidak bersalah dibunuhnya. Tetapi Nabi Ibrahim tidak menggunakan hujah logik seperti ini tetapi baginda mendiamkannya dengan hujah yang lain.
         Hujah itu adalah seperti berikut :
         Ibrahim menjawab : "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat." Kerana itu hairan tercengang oran-orang kafir itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
          (Al Baqarah : 258)
        Namrud pun bungkam tidak dapat menjawab.
        Begitulah juga Rasulullah s.a.w telah menyanggah kelicikan, kecerdikan dan putar belit Yahudi tadi dengan membaca lain-lain huruf permulaan surah. Mereka bungkam dan dengan bacaan itu baginda menjadikan mereka kebingungan. Jikalau nilai angka bagi huruf-huruf yang terus menerus dibaca itu dikira maka jumlahnya akan menjadi 903 melonjakkan lagi jumlah tahun.
         Tersebut di dalam hadis riwayat Ibn Majah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
         "Umur umatku adalah setengah hari. Jikalau mereka tetap lurus, umur umat itu akan menjadi sehari penuh, jikalau tidak mereka akan binasa seperti umat-umat yang dahulu."
         Apabila dirujuk kepada Syeikh Akhbar, Syeikh Mujadid Alf Sani, Shah Abdul Aziz Muhaddis Dehlavi dan Qadhi Sanaullah Panipati dan Waliyullah dan ahli hadis Maulana Saiyid Anwar Shah Kashmiri telah mengatakan bahawa hari tersebut ialah Hari Kiamat.
        Apa maksudnya setengah hari? Satu hari Akhirat menyamai 1,000 tahun. Maka separuh hari bermakna 500 tahun. Ini bermaksud : "Umatku akan memerintah dunia penuh dengan kemuliaan dan bermaruah, kemudian penguasaannya pun mula menurun."
         Orang-orang Tartar telah melanda seluruh dunia Islam, tetapi jikalau sudah reda lalu mereka memperbaiki diri mereka, maka mereka akan dapat menyempurnakan 1,000 tahun. Selepas 1,000 tahun, jikalau mereka mula mundur maka kaum lain akan muncul pula untuk melanda mereka. Ini terjadi 1,000 tahun kemudian di mana orang-orang Islam tidak lagi mahu berpegang dengan ajaran Al Quran dan Hadis, kaum-kaum seumpama Eropah lalu mengalahkan dan menjajah mereka sehingga apa yang ada pada orang-orang Islam diambil dan dinafikan haknya.
                                                                                          (Fathul Bari : jilid 1, ms 125)
         Jikalau angka dan banyaknya tahun diperolehi daripada huruf-huruf yang dinyatakan, maka apakah maksudnya yang dapat diambil jikalau ia muncul beberapa kali di dalam Al Quran. Maka orang-orang Yahudi mulalah berkata : "Kamu telah menjadikan kami ragu-ragu."
        Jikalau huruf-huruf yang tersebut muncul beberapa kali di dalam Al Quran lalu dihitung akan angka yang terhasil maka jumlahnya akan mencapai 3,385, maka umur umat ini ialah 3,385 tahun sedangkan sekarang masih 1,403 (ketika kitab ini ditulis ---penterjemah) yakni Kiamat masih lama lagi akan berlaku. Tidak perlulah orang-orang Islam berbincang mengenai kenyataan yang telah dibuat oleh Ahli Nujum, Peramal dan Ahli Tenung.
        Jauhilah kepercayaan yang mengatakan : "Setelah berlakunya 1,400 tahun maka Kiamatpun mulalah hampir tiba." Jikalau adalah rencana seperti ini muncul di dalam suratkhabar dan majalah menyebabkan mereka kebingungan maka rujuklah kepada alim ulamak untuk bertanyakan kebenarannya. Maka berhubung dengan Kiamat, saya dapat menegaskan menurut cahaya Al Quran dan hadis bahawa tekaan mereka itu sama sekali salah dan palsu.
(bersambung...)
          

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...