Sunday, October 25, 2009

Meniti Debaran Zaman

Bab 17
TANDA KELIMA YANG TELAH WUJUD : API YANG DAHSYAT BERLAKU DI HIJAZ


          Ini adalah salah satu petanda Kiamat yang telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. Terdapat sebuah hadis yang sama-sama diriwayatkan di dalam Bukhari dn Muslim : "Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : "Tidak akan terjadi Kiamat sehinggalah api keluar daripada tanah Hijaz, (Cahayanya akan menerangi tengkuk-tengkuk unta di Basra)"
(Muttafaqun 'alaihi)
        
Hadis ini telah dinyatakan di dalam Fathul Bari dengan lebih terperinci. Begitu juga Saiyidina Umar r. 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bahawa : "Kiamat tidak akan muncul selagi api tidak keluar daripada lembah-lembah (terusan daripada terusan-terusan) di Hijaz yang mana tidaklah tengkuk-tengkuk unta di Busra menjadi terang benderang."
(Jilid 13, ms 67)
         Busra adalah sebuah bandar yang masyhur terletak di antara Kota Madinah dan Damsyik kira-kira 48 batu daripada Damsyik.
         Api ini marak menyala berdekatan Madinah kira-kira setahu sebelum puak Tartar menyerang Baghdad. Api ini mempunyai sifat-sifatnya seperti yang tercatat di dalam hadis Rasulullah s.a.w.
         Api itu mula berlaku pada hari Jumaat 6 Jamadil Akhir 654 Hijrah. Maraknya seperti lautan api, merebak berbatu-batu jauhnya. Landaannya menjadikan gunung-ganang menjadi abu. Akhirnya surut pada 27hb Rejab pada pagi hari. Selama 52 hari ia menyala dan membakar dan selepas itu surut selama 3 bulan pula untuk padam semuanya.
        Cahaya api ini dapat dilihat dari Taimah, Mekah, Basra dan Damsyik. Berita api liar ini tersebar ke seluruh dunia, maka ahli-ahli hadis dan sejarawan pada ketika itu telah mencatatkannya di dalam kitab-kitab mereka dan juga merakamkan bersama-sama oleh penyair-penyair.
         Pengulas Sahih Muslim, Imam Nawawi r. 'alaihi telah menyatakan bahawa kewujudan api tersebut telahpun disebut di dalam hadis sebagai petanda hari Kiamat. Api ini mula menjulang dari utara Madinah dalam keadaannya yang sangat dahsyat sekali. Penduduk Syria telah menceritakan perkara tersebut dan khabar-khabar telah tersebar di seluruh kalangan penduduknya. (Terkandung di dalam Muslim, Jilid 11, ms 393)
          Imam Nawawi r. 'alaihi meninggal dunia pada 721 Hijrah. Pentafsir Al Quran yang masyhur 'Allamah Muhammad Ibn Ahmad Qurtubi r. 'alaihi telah juga menulis secara terperinci mengenai api ini.
         "Api mula terbakar dari Hijaz di luar Kota Madinah pada hari Rabu 3hb Jamadil Akhir 654 Hijrah. Ini adalah akibat berlakunya gerak gempa yang telah terjadi pada malam Rabu selepas solat Isyak. Gegaran gempa bumi ini berlarutan sehingga Jumaat tengahari. Pada mulanya api ini muncul dari suatu tempat bernama Harrah kawasan Bani Quraizah. Harrah ini dikelilingi ke empat-empat penjurunya oleh tembok. Di atas tembok ini yang kelihatan seperti menara kawalan, kubu dan menara masjid serta orang-orangnya kelihatan seolah-olah menaiki dan memandu api tersebut.
        Setiap gunung yang dilandanya semuanya cair dan terbakar menjadi abu. Seolah-olahnya ada dua terusan di dalamnya, satu merah dan satu lagi berwarna hijau yang bunyinya bergemuruh menggunung seperti awan lalu daripadanya menggununglah keluarnya debu. Api ini menghampiri Madinah tetapi di dalam kota suci ini, angin bayu bertiup sejuk. Api ini menyemarak seperti lautan yang bergelora.
         Seorang sahabataku memberitahu bahawa api ini boleh dilihat di Madinah sejarak lima hari perjalanan dan aku mendengar bahawa api ini dapat juga dilihat daripada gunung-ganang Mekah dan juga Basra."
         'Allamah Qurtubi menulis bahawa api tersebut telah membuktikan akan kebenaran kerasulan Rasulullah s.a.w.
(Tazkiratul Qurtubi : ms 137, Fathul Bari : Jilid 13, ms 67)
         'Allamah Samhudi menulis : "Pada ketika itu, cahaya matahari dan bulan di Madinah kelihatan kelam seolah-olah berkeadaan gerhana."
         Beliau juga meriwayatkan bahawa : "Kesan daripada api yang menggila itu, cahaya matahari yang jatuh ke tembok-tembok kelihatan suram. Kami berasa hairan apa yang telah terjadi sehinggalah berita mengenai api ini sampai kepada kami."
(Wafa al Wafa : ms 145)
         Pada ketika berlakunya kebakaran ini seorang yang 'alim Allamah Quthul-Din Qastalani r. 'alaihi sedang berada di Mekah. Beliau begitu bersusah payah bertanyakan orang mengenainya lalu menulis sebuah kitab mengenainya. Di dalam kitabnya itu beliau telah menceritakan sebuah peristiwa yang menakjubkan. Beliau menulis : "Seorang yang aku mempercayainya kuat dengan agama dan kejujurannya memberitahuku bahawa di Harrah (tempat terjadinya kebakaran itu) dia melihat sebuah batu. Sebahagian daripadanya terdapat pada bahagian dalam Madinah dan sebahagian berada di luarnya. Yang terbakar hanyalah batu di bahagian luar sedangkan yang di bahagian dalamnya tidak terbakar. Batu yang di bahagian dalam Madinah sejuk dan api itu surut lalu sejuk dan padam, tidak sampai ke dalam Madinah."
(Ishadul Sari : ms 203)
         Inilah salah satu mukjizat Rasulullah s.a.w bahawa api itu tidak meneruskan perjalanannya ke Madinah dan sebahagian batu itu di bahagian dalam Tanah Madinah tidak terbakar.
         Cerita yang sebenar mengenai Madinah telah ditulis di dalam Wafa al Wafa yang mengandungi hampir 13 muka surat telah ditulis mengenai api tersebut. Dinyatakan di dalamnya bahawa api tersebut dapat dilihat sejauh-jauh tempat seperti Mekah (230 batu dari Madinah), Taimah, Yanb'u, Jibal-e Saya dan Basra. Cahaya api ini sebenarnya telah menjangkau jauh sehingga ke tempat-tempat ini.
         Tiga perkara telah disebut di dalam hadis berhubung dengan api ini :
         1. Api tersebut akan keluar mula-mulanya dari Madinah;
         2. Bermula dari satu lembah; dan
         3. Tengkuk-tengkuk unta di Basra akan diterangi cahayanya.
         Ketiga-tiga perkara ini telh diperkatakan berabad-abad lama dahulu sebelum kejadian tersebut. Dengan ini, segala apa yang telah diperkatakan dan diberitahu oleh baginda, sebnarnyalah akan terjadi sebelum munculnya Kiamat. Apa sahaja yang telah diberitahu olehnya telahpun terjadi. Begitulah juga baki perkara-perkara yang telah diberitahunya itu tetap akan berlaku dan Kiamat tidak akan berlaku sebelum tanda-tanda ini muncul.
         Peristiwa-peristiwa yang telah terjadi pada masa-masa yang lalu juga telah ditulis dengan terperinci. Contohnya diberikan dibawah ini.
(Bersambung...)

p/s "Meniti Debaran Zaman " tajuk asalnya "The Signs Of Doomdays" karya Sheikhulhadis Mufti Ahmed Ebrahim Bemat yang telah diterjemahkan oleh Abdul Aziz bin Abdul Hamid yang telah diterbitkan oleh : AZH NIAGA RESOURCES, No. 47, Selera Duta, Jalan Duta, WP. Harga RM 22.00. Saya salinkan semula kandungan ini kerana ia begitu bermanafaat untuk renungan kita bersama dankepada pembaca yang belum lagi membeli buku ini. Salinan semula kandungan ini agar dapat dikongsi bersama..Dibawah ini disertakan gambar depan buku tersebut..




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...